Selasa, 15 September 2015

Persediaan Berpantang Sendiri, Cari Yang Mudah

Tip Sediakan Persiapan Berpantang
-----------------------------------------------

Cari kelengkapan dengan kata kunci - MUDAH. Mudahkan suami, biar sama-sama dapat menjalankan tanggungjawab masing-masing dengan mudah. Suami isteri senang hati, bayi dapat tidur lena.



Set berpantang Asas
----------------------------
Makan jamu hanya sekiranya perlu. Tapi Kak Za tak sanggup nak berulang alik ke klinik untuk periksa darah bayi kalau kena kuning. Pernah rasa tinggal di wad selama 2 minggu selepas melahirkan anak sulung, Nabil Asif. Kali kedua anak kena tinggal di wad sebab kuning, anak ke lima. Anak ke lima bersalin hospital swasta, INS Alor Setar. Ibu boleh balik, tapi anak kena tinggal di hospital. Pun tak best juga sebab penat kena kerap ke hospital untuk susukan anak. Nak pump pun susu tak keluar banyak lagi. Kalau tak pergi, rindu sangat pada bayi. Serba salah juga.

Jadi kak za cadangkan ambil supplement yang dibekalkan oleh doktor sahaja untuk memberikan tenaga kepada ibu. Insyallah ibu sihat, bayi pun sihat.

Mandian herba penting untuk mengembalikan tenaga ibu dan juga buang angin yang tak elok. Kalau nak cari mandian herba, cari yang mudah direbus dan mudah disimpan.
Tungku - dapatkan yang tidak terlalu berat supaya isteri boleh bertungku sendiri
Bengkung - beli yang isteri boleh pakai sendiri tanpa bantuan suami

Keperluan Bayi
---------------------
Bedung bayi - dapatkan yang betul-betul dapat membalut bayi dengan kemas supaya bayi tidur lena dan memberikan lebih masa rehat untuk ibu dan ayah
Susu Ibu adalah yang terbaik, agar ayah tidak perlu berlari-lari membancuh susu di waktu siang dan dapat tidur lena di waktu malam.
Kelengkapan mandian bayi letak di atas meja supaya mudah ibu mandikan bayi sendiri.

Suami Wajib Masak Untuk Isteri Dalam Pantang?

Suami jika mahu masakkan untuk isteri dalam pantang adalah satu bonus. Lagipun makan orang dalam pantang mudah sahaja. Formula memang simple.

Kukus, Rebus & Panggang.

Bahan juga mudah, banyakkan halia, kunyit dan lada hitam. Senang sangat. Kalau tak tahu nak beli ikan jenis apa, tanya sahaja orang jual ikan di pasar. Tapi seelok-eloknya beli 1 jenis ikan sahaja, ikan selar. 

Kalau yang tak kenal ikan selar tu boleh jadikan google sahabat baik. 

Kalau suami Dah Masak
------------------------------
Isteri pula janganlah terlalu cerewet. Kunyah dan telan sahaja apa yang disediakan. Masa inilah nak kurus balik macam masa anak dara. Kalau makan pun nak memilih masa ini, jangan mimpi nak kurus balik.

Tapi Kak Za nak cerita pasal pengalaman masa suami masak. Sepanjang tempoh suami memasak tu, habis hitam kuali yang berkilat-kilat. Redha ajelah kan.

Dapur tak payah ceritalah kan.  
Tetapi jika suami menolak untuk masak, tidak jadi masalah untuk isteri memasak sendiri. Letak garam kunyit, masukkan dalam kuali ajaib tu. Cuma jangan terlalu main air, mengikut pesan orang tua. Bersihkan ikan dan sayuran itu, suami yang buat ya.

Rabu, 9 September 2015

Biar Benar, Kau Jumpa Bomoh?

Cerita ini kak za nak sambung siri pengalaman mengandungkan nabil asif. Kandungan berusia 36 minggu, doktor sahkan bayi songsang. Setelah doktor bagi tiga pilihan, kami memilih untuk bersalin secara alami walaupun songsang. Rasanya waktu itu, inilah keputusan terbaik. Disebabkan pilihan ini, doktor nasihatkan balik kampung awal untuk elakkan sebarang kejadian yang tak disangka-sangka yang boleh membahayakan nyawa anak dan ibu.

Suami pun hantar kak za balik kampung di Kelantan. Alhamdulilah tak ada apa-apa yang berlaku dalam perjalanan. Tapi yang kelakarnya, punyalah suami nak jaga kak za masa tu takut bersalin tengah jalan, tiga empat biji bantal dia letak suruh kak za duduk. Sampai tenggelam dalam bantal. Memang sepanjang perjalanan tu syok betul. Memang langsung tak rasa apa-apa bila kereta termasuk lubang ke apa. Inilah yang wanita suka sangat mengandung kan...apatah lagi mengandung anak pertama. Dilayan macam permaisuri.

Di kampung, ummi cadangkan berjumpa dengan seorang ustaz yang katanya boleh pusing bayi dalam perut dengan hanya minum air. Suami tak bersetuju sebab dia bimbang lelaki yang dikatakan ustaz tu tok bomoh. Kalau bomoh, kak za pun tak nak. Tapi umi cakap yang ustaz ini mengajar agama di pondok Sungai Durian di Kuala Krai dan tempat tu memang terkenal dengan orang yang alim-alim.

Kami pergi sebagai menghormati cadangan umi ditemani oleh sepupu suami yang memang tinggal di Kuala Krai. K.Ina yang temankan kami juga kenal ustaz itu. Memang berdebar-debar semasa sampai ke rumah ustaz tu. Kami duduk dan selepas kak ina cerita hajat kami, ustaz tu tak pandang pun muka kak za. Dia terus cakap yang bayi dalam perut tu dah tak boleh nak pusing. Perut dah tak ada ruang untuk bayi pusing. Kak Za ingat lagi kata-kata dia sebab time tu. Dia kata macam ni,

"Biarlah dia duduk gitu. Anak lelaki memang lasak. Berat tu, 3 kilo."

Masa dia cakap tu kami macam tak rasa apa-apa. Memang tak percaya dan kecewa juga sebab dia tak boleh buat apa-apa.

Nak tahu betul ke tidak apa yang ustaz tu kata?Kalau tak sabar boleh terus lihat cerita bersalin atau baca dulu sambungannya di sini Cerita 4 - Kecut Perut Sorang-Sorang!

Memori Mengandungkan Nabil Asif Kes Songsang

Cerita 1 - Bayi Dalam Perut Songsang, Saranan Doktor

Cerita 2 - Mengandung Songsang, Beraninya Buat Keputusan Ini

Cerita 3 - Biar Benar, Kau Jumpa Bomoh Za?

Cerita 4 - Kecut Perut Sorang-Sorang!

Cerita 5 - Akhirnya, Aku Hadapi Juga Walaupun Takut.

Isnin, 7 September 2015

Mengandung Songsang, Beraninya Buat Keputusan Ini!

Post sebelum ini kak za cerita mengenai keadaan bayi yang berada dalam kedudukan songsang. Masa mengandung minggu ke 36, doktor bagi tiga pilihan dan kami belum berani buat keputusan sebelum berbincang dengan orang tua.

Jadi balik dari hospital,kak za dan suami hubungi ibu masing-masing minta nasihat. Tapi dua-dua macam tak berani nak bagi kata putus, suruh kami suami isteri ambil keputusan mana yang baik. Ummi kak za cerita mengenai kakak kak za, iaitu Kak Na yang bersalin anak pertama pun songsang. Dia bersalin normal dan yang kelakarnya, dalam ambulan lagi dah nampak kaki bayi terkeluar dah. Sampai hospital kelam kabut jururawat dengan doktor. Alhamdulilah anak sulung kak Na, Siti Zulaika sudah besar dah sekarang. Memang tak ada komplikasi apa-apa.

Mama, mak mertua kak za sebab tak ada pengalaman dengan anak yang pernah bersalin, jadi dia tak ada komen apa-apa. Tapi dari sudut 'medical',mama beritahu yang penjagaan bersalin biasa lagi mudah. Walaupun dua-dua ibu ini katanya kami buat keputusan sendiri, tapi macam faham-faham kan..

Ya samalah macam kak za rasa masa tu. Mereka suruh bersalin biasa sebenarnya. Mesti korang pun dapat hints tu kan...

Kak Za dan suami pun ambil keputusan bersalin normal walaupun bayi songsang. Semasa buat keputusan ini, doktor cadangkan kami terus booking bersalin di Hospital Klang itu. Kami plan untuk balik bersalin di kampung, di Hospital USM Kubang Kerian. Jadi doktor buat surat rujukan dan nasihatkan kami untuk balik awal untuk elakkan kemungkinan bersalin awal. Kemungkinan yang paling menakutkan bila doktor takut bersalin dalam perjalanan balik kampung. Terbayang macammana lah kalau ter'beranak' dalam kereta di tengah-tengah bukit 7, tak ke jenuh...eiii mintak jauhkan. Doktor ni memang cekap takutkan orang ni...cakap macam tu pula kan... tapi apa yang dia cakap tu betul. Ya kan...

Kak Za minta cuti 2 minggu awal dengan bos sebab nak balik kampung awal. Dia bagi sebab nanti kak za akan balik bekerja 2 minggu lebih awal. Sebulan setengah berpantang, 40 hari duduk rumah. Okay lah tu kan...

Nak tahu apa yang jadi dalam perjalanan balik kampung? Baca cerita seterusnya ya..
Cerita 3 - Biar Benar, Kau Jumpa Bomoh Za?

Memori Mengandungkan Nabil Asif Kes Songsang

Cerita 1 - Bayi Dalam Perut Songsang, Saranan Doktor

Cerita 2 - Mengandung Songsang, Beraninya Buat Keputusan Ini

Cerita 3 - Biar Benar, Kau Jumpa Bomoh Za?

Cerita 4 - Kecut Perut Sorang-Sorang!

Cerita 5 - Akhirnya, Aku Hadapi Juga Walaupun Takut.

Sabtu, 5 September 2015

Bayi Dalam Perut Songsang, Saranan Doktor

Teringat masa kali pertama kena bersalin cesar untuk anak pertama. Masa tu memang tak tahu nak buat keputusan macammana sebab selalu dengar orang kata bersalin biasa lebih alami, lebih bagus dan lagi tak sakit. Masa mengandungkan anak pertama 36 minggu, doktor arahkan untuk buat ultrasound sebab bayi dalam kandungan sonsang (breech).

Masa mengandung 36 minggu tu doktor tak terus cakap kena ceaser, tapi dia bagi 3 pilihan. Siap balik buat research lagi tu. Googgle memanjang apa pilihan terbaik. Ini pilihan yang doktor bagi:-

Tahulah telefon tahun 2006 tak canggih macam zaman sekarang. Tapi ini sahaja gambar masa mengandung anak pertama yang dijumpai semula...hahaha...kenangan ni. Guna telefon siapa tak tahu. Tapi sah-sah bukan kak za punya ya...

Pilihan pertama, vaginal delivery/ bersalin biasa. Kalau pilih yang ini, setiap minggu kena pergi klinik atau masa tu kak za kena pergi ke hospital klang untuk buat ultrasound sebab untuk pastikan kedudukan bayi beralih atau tidak. Risiko masa bersalin nanti, mungkin bayi lambat keluar dan boleh menyebabkan bayi lemas. Mungkin juga terpaksa gunakan vacuum atau forsep untuk keluarkan bayi jika alami kesukaran. Ngeri kan.....oh tidak....

Tapi disebabkan berat bayi kak za taklah berat sangat, masa tu doktor kata kemungkinan bayi berat 2.8kg masa keluar, jadi insyaallah tak ada masalah nak bersalin biasa. Tetapi risiko tu tetap ada. Emm...fikir panjang pula kami suami isteri masa tu.

Pilihan ke 2 - doktor akan cuba pusingkan bayi dengan bantuan ultrasound. Kalau pilih yang ni, sebelum minggu ke 37 kena buat dah. Maknanya, kena terus buat keputusan sekarang dan doktor akan terus bagi tarikh terdekat. Tapi risikonya ada juga. Boleh terkoyak placenta jika tersilap langkah atau leher anak terjerut tali pusat. Lagi ngeri kak za dengar. Terus pangkah pilihan yang ni.

Pilihan terakhir, cesarean, or c-section dan risikonya lagi tinggi. Takut sangat masa tu sebab macam-macam orang cerita pasal czer ni. Pendarahan la, luka bernanah tak sembuh-sembuh, jangkitan kuman la dan yang paling tak tahan sekali bila dengar orang cerita boleh pecah perut kalau doktor tak jahit betul-betul. Tapi doktor tak cakap macam tu la kan. Doktor kata risiko nya memang tiga kali ganda berbanding dengan bersalin biasa.

Kami minta doktor berikan tempoh untuk berbincang sebab memang tak boleh nak buat keputusan masa tu. Due 9 September 2006, ada 4 minggu lagi insyaallah masa tu. Macam confident saja bersalin on time kan...

 

Nak tahu kak za dan suami setuju dengan pilihan yang mana? 

Stay tuned....cewah.... tunggu ya


Memori Mengandungkan Nabil Asif Kes Songsang

Cerita 1 - Bayi Dalam Perut Songsang, Saranan Doktor

Cerita 2 - Mengandung Songsang, Beraninya Buat Keputusan Ini

Cerita 3 - Biar Benar, Kau Jumpa Bomoh Za?

Cerita 4 - Kecut Perut Sorang-Sorang!

Cerita 5 - Akhirnya, Aku Hadapi Juga Walaupun Takut.



Sabtu, 15 Ogos 2015

Bertuah Wanita Ini Bila Dapat Suami Penyayang Begini


Secara peribadi saya sangat menghormati suami yang menjaga isteri sendiri semasa berpantang. Malah semakin ramai lelaki atau suami yang mengambil peranan ini. Jika dahulu, tugas menjaga isteri di dalam pantang diserahkan bulat-bulat kepada ibu atau ibu mertua, sekarang berbeza.


Ada sesiapa nak share, siapa yang berpantang sendiri dan dijaga sepenuhnya oleh suami? Macammana suami lakukannya? Ini ucapan isteri yang komen di facebook peribadi saya dan juga page kami - berpantang sendiri. Sweet kan...







Jumaat, 6 Mac 2015

Mampukah Suami Bekerja Jaga Isteri Berpantang?

Kak Za lihat ramai suami sekarang sudah mula mengambil bahagian dalam penjagaan isteri selepas berpantang. Bukan suami Kak Za sahaja, malah abang ipar, saudara mara dan suami kawan-kawan, semuanya bertuah kerana mendapat suami yang ringan tulang sepanjang tempoh isteri berpantang.

Ini antara tugas suami sebelum ke tempat kerja yang biasa dibuat oleh abang ipar Kak Za. Alhamdulilah Kak Za pun suka bila dengar cerita kakak. Suami Kak Za memang duduk rumah sepanjang tempoh Kak Za berpantang selepas kelahiran anak ke 3 hingga ke 5. Jadi memang semua tugas dia buat. Jadi Kak Za interview lah kakak, tanya dia apa yang suami dia buat sebelum pergi kerja. Ini antara tugasnya sebagai panduan mereka yang suami perlu ke tempat kerja sebelum meninggalkan isteri berpantang di rumah.

1) Menyediakan air mandian untuk ibu
2) Menyediakan air mandian untuk anak
3) Menyediakan makan pagi dan tengahari untuk isteri
4) Panaskan tungku

Ini pula tugas suami selepas balik dari kerja. Sebagai alternatif kalau suami sudah penat, boleh sediakan lauk yang sama seperti makan tengahari. Tetapi jangan sesekali berikan nasi yang dipanaskan semula kepada isteri dalam pantang. Nasi mesti dimasak baru ya.

1) Mengemas rumah dan menyediakan makan malam
2) Mencuci pakaian isteri dan bayi
3) Pastikan semua keperluan isteri dan bayi mudah dicapai oleh isteri

Ada sesetengah rutin hanya perlu dilakukan oleh suami pada 1-2 minggu pertama selepas kelahiran sahaja. Jika isteri sudah bertenaga dan mampu melakukannya sendiri, kuranglah tugas suami. Namun ada juga tugas-tugas yang suami terpaksa lakukan sehingga tamat tempoh berpantang. Elakkan ibu berpantang dari mengangkat benda-benda berat seperti air mandian untuk isteri dalam baldi mahupun air mandian untuk bayi dalam besen.

Jika ada anak-anak lain di rumah yang masih kecil, usahakan agar anak-anak ini dijaga oleh pengasuh lain. Tujuannya pada 1- 2 minggu pertama, ibu dapat berehat dan dapat menumpukan perhatian sepenuhnya kepada bayi.